Ramai lelaki gagal dalam menjadi pendengar yang baik. Apabila pasangan mereka meluahkan perasaan atau menceritakan sesuatu, lelaki akan suka ‘potong’ dan menghilangkan mood pasangan mereka. Ini menyebabkan wanita terus tertekan dan akhirnya perhubungan menjadi semakin renggang dan menyebabkan perpisahan.
Mrs Teddy juga suka bercerita dan
meluahkan perasaannya kepada saya. Sebagai seorang lelaki, saya akan mendengar
dan memberikan sepenuh tumpuan kepada apa yang ingin beliau sampaikan. Hanya
dengan mendengar, anda akan membuatkan si dia kembali ceria dan happy. Kerana
dalam hatinya, si dia tahu yang anda ada untuk mendengar luahan hati dan
perasaannya.
Tetapi, bagaimana untuk menjadi
pendengar yang baik kepada wanita? Berikut merupakan 7 tips yang ingin saya
kongsikan bersama-sama dengan anda semua…
1. Berikan perhatian sepenuhnya – Apabila si dia mula berkata-kata, tumpukan sepenuh perhatian kepadanya. Hentikan segala perbuatan anda dan dengar dengan teliti setiap apa yang si dia ingin katakan. Walaupun terdapat gadis yang lalu-lalang di sebelahnya, jangan sesekali menjeling ke arah gadis tersebut. Saya tahu perangai anda, kerana saya juga seorang lelaki.
2. Pandang matanya – Ketika si dia sedang bercakap, pandang matanya. Renung
dan dengar dengan teliti cerita yang ingin disampaikan. Itu akan membuatkan si
dia lebih gembira untuk meneruskan cerita atau luahan perasaan kerana anda ada
untuk mendengarnya.
3. Jangan berikan pendapat – Apabila si dia meluahkan perasaaan, jangan sesekali
memberikan pendapat atau jalan penyelesaian. Sebagai contoh, “Tadi ada pakcik
tu jatuh tangga. Kesian je tengok pakcik tu.” Jangan pula anda berikan
pendapat, “Ala…biarlah dia nak jatuh ke, nak tergolek ke. Bukan awak susah
pun…”. Ini adalah sangat-sangat mematikan mood pasangan anda. Si dia hanya
ingin meluahkan perasaan dan bukannya meminta pendapat anda. Jadi, jangan
sesekali memberikan pendapat kecuali diminta.
4. Bertanyakan soalan – Untuk menaikkan lagi mood si dia bercerita, tanyakan
soalan-soalan yang berkaitan dengan apa yang dicerita. Ini menunjukkan yang
anda juga berminat dengan cerita yang si dia kongsikan. Saya guna contoh yang
sama seperti di atas, “Tadi ada pakcik tu jatuh tangga. Kesian je tengok
pakcik tu.” Soalan yang boleh anda tanya, “La…macam mana dia boleh
jatuh?”.
5. Berikan sokongan kepadanya – Sekiranya pasangan anda sedang marah-marah atau merungut mengenai sesuatu, dengarkan saja apa yang si dia marahkan. Berikan sokongan yang anda juga berpihak kepadanya. Dan jangan sesekali anda menyokong orang yang dimarah itu pula. Ini akan menunjukkan yang anda tidak menyokong dirinya dan menyebabkan si dia bertambah marah.
6. Ulang semula apa yang dikatakan – Anda juga boleh mengulang semula apa yang si dia katakan bagi menunjukkan yang anda mendengar ceritanya. Contoh yang sama, “Tadi ada pakcik tu jatuh tangga. Kesian je tengok pakcik tu.” Apa yang anda boleh buat adalah, “La…kesian pakcik tu jatuh tangga…”. Dan si dia akan terus menyambung semula bercerita selepas mendapat tahu yang anda sedang mendengar ceritanya.
7. Diam dan jangan berkata apa-apa – Tetapi, jika topik luahan perasaan atau marah itu ada berkaitan dengan anda, adalah lebih baik anda berdiam diri dan jangan respon apa-apa. Lebih baik anda tahan telinga dan mendengar apa saja yang si dia katakan. Biarkan si dia luahkan segala perasaannya. Dengan cara sebegini akan membuatkan si dia lebih cepat reda kerana perasaan marah itu berjaya dikeluarkan.
Mudah bukan untuk menjadi seorang
pendengar yang baik? Apa yang perlu anda buat hanyalah, mendengar. Itu sahaja.
Perempuan akan rasa diri mereka
disayangi apabila luahan perasaannya didengari oleh pasangan. Sekiranya
pasangan anda sedang bercerita atau meluahkan perasaan, anda sudah tahu apa
yang perlu dilakukan. Jadilah pendengar yang baik, kerana itulah salah satu
resepi untuk membina percintaan yang bahagia selamanya…

0 comments:
Posting Komentar