Wanita tidak semestinya memerlukan lelaki, tetapi wanita dan lelaki saling memerlukan, cinta itu anugerah.
Mengapa wanita memerlukan lelaki di
dalam hidupnya? Untuk beberapa waktu dahulu, ia begitu memukul-mukul kepala.
Ya, apa perlu seorang wanita yang
bebas mempertaruhkan sebahagian besar hidupnya kepada tangan seorang lelaki?
Bukankah lebih hebat jalan dihujung
minggu bersama kawan rapat, berkenyit-kenyitan mata kepada lelaki kacak yang
saling tidak putus dan tidak lokek senyum tanda salam perkenalan.
Cinta tidak datang dipaksa-paksa.
Cinta tidak juga datang kala kita mahukannya. Jika kita mahukan ia menjadi air,
ia datang seperti api.
Tetapi, jika kita bersabar dan
menerima ketentuan Tuhan, seorang lelaki yang baik akan didatangkan kepada kita
juga. Lelaki yang baik itu tidak turun dari langit.
Lelaki yang baik itu juga tidak
semestinya datang dengan kepala berketayap, janggut selambak atau harta
membuak-buak.
Tetapi lelaki yang baik, jika Tuhan
mahukan dia menemani kita sepanjang hayat, membimbing kelakuan kita, menjaga
kemurnian kalbu bersama-sama, mendidik, membuka jalan agar kita dapat
memperdalam selok belok agama yang barangkali selama ini hanya menjadi pakaian
dan lencana, dan memberikan kita zuriat yang halal lagi dirahmatiNya.
Dia akan datang apabila tiba
masanya. Lambat atau cepat, maafkan saya, kerana Allah itu yang lebih
mengetahui.
Kawan, kedatangan seorang lelaki
dalam kehidupan seorang wanita seperti manusia kudung yang diberikan semula
sebelah kakinya. Dia menyempurnakan kita.
Namun, tidak kira semasyhuk mana
sekalipun perkasihan dua jantina, selain perkara yang cantik-cantik dan
molek-molek, kita, wanita, harus bersedia menerima kehodohan-kehodohan
perhubungan.
Kerana apabila kita mempersilakan
seorang lelaki duduk di samping kita untuk sepanjang hayat, bererti kita harus
langsung juga mempersilakan sekian masalahnya berbaring di bahu kita.
Kerana itu tidak hairan jika kita
mendengar ada di kalangan kita, gadis, yang merungut-rungut kerana
tanggungjawabnya terhadap keperluan hidup lelaki tidak juga berkurangan
walaupun belum lagi berkahwin.
Ya, lelaki memang mendatangkan
bahagia.
Tetapi lelaki juga mendatangkan
sengsara. Namun jika kita bijak menatangnya, semuanya pasti baik-baik sahaja.
Itulah adat dalam perhubungan. Yang buruk-buruk pasti ada.
Barangkali daripada si dia,
barangkali juga daripada kita, tetapi kita harus cermat mengimbangkannya agar
jodoh berkekalan ke hari tua.
Bagi yang sedang galak bercinta
dengan lelaki permata jiwa tetapi menerima tentangan keluarga dua pihak, jika
anda fikir anda tidak mungkin mampu hidup bahagia tanpa restu ibu bapa, maka
ada baiknya anda menyerah kalah saja.
Walaupun tidak saling memiliki, dan
cinta tidak juga diwali dan dinikahi, anda dan dia tetap pengantin di dalam
jiwa.
Barangkali sudah sampai masanya anda
mencari sahaja lelaki lain untuk dibawa pulang menemui ibu bapa.
Dan semoga lelaki yang dipilih,
melaksanakan tanggungjawab dan melunaskan hak suami isteri.
Wanita, kita dicipta dengan
kemuliaan syahadah. Kerana benih seorang lelaki, kita ini tersenyawa, dikurnia
tenaga sehingga kita mampu menyibak jalan keluar dari rahim ibu untuk melihat
dunia.
Kerana benih seorang lelaki, kita
ini ditiupkan jiwa, menjadi manusia, dan mencari seorang lelaki untuk dicintai,
sebagaimana ibu diilhamkan Tuhan untuk berkasih sayang dengan bapa.
Dan kerana Tuhan yang Maha Kuasa dan
Maha Pencipta, kita wanita, kita ini diciptakan daripada lengkungan rusuk kiri
lelaki, tidak terlalu gagah sehingga mengenepi kudrat lelaki, tidak juga
terlalu lemah sehingga jatuh menyembah kaki.
Tetapi kerana ciptaan Tuhan itu
indah, kita terbit daripada rusuk lelaki, bukan dekat kepala untuk dijunjungi,
bukan dekat bahu untuk membebani, bukan dekat lengan untuk dijulangi, bukan
dekat jari untuk disakiti, bukan dekat pinggul untuk dihenyaki, bukan dekat
lutut untuk ditindihi, bukan dekat kaki untuk ditunggangi, tetapi dekat pelusuk
hati untuk dimulia, disayangi dan dicintai.
Andai lelaki itu burung yang
terbang, kita adalah angin lembut yang bersisir-sisiran sepanjang
perjalanannya.
Tetapi kerana fitrah kejadian Tuhan
wanita itu kebergantungan hidupnya harus saja diserahkan kepada seorang lelaki
yang boleh melindungi, maka kita pun tidak selamanya mahu menjadi angin
semata-mata.
Kita mahu menjadi bunga, menghias
sayapnya. Kita mahu terus bersama-sama, terbang dari rendah perkebunan bunga
sehingga ke sayup langit terbuka, sehingga jalannya yang paling hujung,
sehingga kita tua, rapuh dan mati.
Tetapi kita bahagia dalam
dakapannya, semoga kita semua diketemukan dengan jodoh yang baik. InsyaAllah…
0 comments:
Posting Komentar