Dalam meneliti perjalanan hidup kita sering diuji dengan pelbagai cabaran dan ini tidak terkecuali dalam menjalin dan mengukuhkan sesebuah perhubungan atau ikatan kasih sayang antara lelaki dan wanita, khususnya bagi pasangan suami isteri.
Apabila pasangan melakukan
kecurangan dalam suatu hubungan, ia seolah-olah menaruh tuba dalam minuman
apatah lagi selepas segala kepercayaan dan harapan tinggi diletakkan kepadanya.
Jika ini yang terjadi adakah seseorang itu boleh memaafkan pasangannya?
Ketua Unit, Guaman Syarie Universiti
Teknologi Mara (Uitm), Prof Madya Noor Awang Hamat, berkata berdasarkan
pengalaman sebagai peguam syarie tidak dinafikan dalam kebanyakan kes dirujuk,
lelaki didapati lebih ramai yang curang dalam sesuatu hubungan itu berbanding
wanita.
Beliau berkata, begitu juga dalam
memaafkan pasangan didapati wanita lebih bersifat pemaaf dan boleh menerima
kesilapan yang dilakukan serta diakui pasangannya.
“Wanita atau isteri ada sikap dan
naluri untuk bergantung serta inginan perlindungan daripada lelaki ataupun
suami, maka sebab itulah dia mudah memaafkan pasangannya. Walaupun wanita itu
ada kerjaya sendiri dan dilihat boleh berdikari, sikap ingin bergantung dan
dilindungi pasangan tetap ada dan sebab itulah ada yang boleh memaafkan
pasangannya. Malah, selagi tinggi status dan kukuh kedudukan wanita itu, selagi
itulah dia bergantung kepada pasangannya.
“Ingin bergantung atau dilindungi
pasangan itu bukanlah dari segi wang ringgit dan kasih sayang semata-mata,
tetapi lebih kepada faktor luaran, termasuk tanggapan serta pandangan
masyarakat dan ingin menjaga maruah. Wanita itu takut akan gelaran ‘janda’
kerana status berkenaan sehingga kini masih dipandang negatif dalam
masyarakat,” katanya.
Noor Awang berkata, disebabkan
faktor itulah dalam sesetengah kes walaupun suami terus berlaku curang dan
mendera emosi mahupun fizikal, isteri masih boleh bersabar dan cuba
mempertahankan perkahwinan itu. Bagi wanita berkenaan, sekurang-kurangnya
dirinya masih bersuami dan tidaklah masyarakat memberikan persepsi negatif
terhadapnya.
Bagaimanapun, beliau berkata ada
juga wanita berani menerima kenyataan hidup dan boleh menempuh hidup
bersendirian, tetapi ada aspek lain yang diberikan pertimbangan termasuk soal
harta dan anak hasil perkahwinan dibina.
Katanya, kejadian dan ciri wanita
yang dijadikan Allah berbeza dengan lelaki turut menjadi faktor mengapa wanita
mudah memaafkan seseorang itu. Walaupun wanita berjiwa sensitif berbanding
lelaki, mereka mempunyai sikap yang tabah dan kesabaran tinggi serta jarang
membuat keputusan melulu ketika membuat pertimbangan sesuatu perkara.
“Melalui pengalaman sebagai peguam
syarie dan banyak membantu pasangan yang menghadapi krisis rumah tangga, saya
lihat sifat peribadi dan ciri kewanitaan banyak mendominasi diri isteri dan ini
dapat membantu menyelamatkan keruntuhan rumah tangga apabila berlaku kecurangan
yang dilakukan suami,” katanya.
Beliau berkata, dalam kebanyakan kes
yang membabitkan kecurangan isteri, boleh dikatakan hanya 25 hingga 30 peratus
lelaki saja boleh memaafkan dan menerima pasangannya semula.
Sikap ego yang begitu menebal dalam
diri hampir semua lelaki menyebabkannya sukar untuk memaafkan pasangan.
Lebih-lebih lagi, sifat pemaaf memang sukar diamal dan selagi seseorang itu
berpendapat bahawa setiap kejahatan serta keburukan seharusnya dibalas secara
setimpal.
Malah, katanya, kerana ego yang
tinggi ada suami yang berlaku curang dan tahu kesilapan diri sendiri masih ingin
meletakkan kesalahannya kepada isteri. Lelaki berkenaan sanggup menyatakan,
isteri menjadi punca semua itu berlaku kerana tidak mampu memberi kebahagiaan
kepadanya lantaran itulah beliau terpaksa beralih mencari wanita lain.
Noor Awang berkata, selain itu hadis
Rasulullah yang mengingatkan golongan lelaki agar jangan membiarkan isteri
curang kerana boleh dianggap dayus juga menjadi bayangan dalam diri kebanyakan
lelaki sehingga sukar memaafkan pasangan.
Dalam menempuh ranjau hidup
berumahtangga dan membina perhubungan yang sudah retak, beliau menasihatkan
pasangan supaya kembali kepada falsafah perkahwinan itu sendiri. Sebuah
perkahwinan itu hakikatnya, memerlukan ketenangan dan kebahagiaan bersama.
Untuk mencapai ke arah itu, segala sifat yang keji perlulah dielakkan dan
ditepis oleh setiap pasangan.
“Kecurangan boleh berlaku disebabkan
beberapa faktor seperti persekitaran harian di tempat kerja, kepincangan
pasangan, pengaruh media dan sebagainya, tetapi ia boleh diatasi dengan
keazaman masing-masing. Pasangan juga perlu mendekatkan diri dengan Allah dan
dengan ada keimanan dalam diri, Insya-Allah kita dapat elakkan diri daripada
perkara yang tidak elok,” katanya
0 comments:
Posting Komentar